Wednesday 11 July 2018

Senggugut

Assalamualaikum. Topik yang akan dibahaskan pada hari ini adalah berkaitan dengan senggugut.


Apa Itu Senggugut?
Senggugut atau dalam istilah saintifiknya ialah 'Premenstrual dysphpric disorder Idysmenorhoea'. Ia biasa dialami oleh seorang wanita apabila datang haid. Senggugut dibahagikan kepada 2 iaitu,

i)   Senggugut Utama
ii)  Senggugut Kedua


i)   Senggugut Utama
Disebabkan penghasilan 'hormone prostaglandin' daripada tubuh badan yang menyebabkan rahim akan mengecut secara luar biasa dengan kuat. Keadaan ini biasanya akan berlaku pada wanita atau remaja yang belum berkahwin. Senggugut ini biasanya akan menyerang pada hari pertama dan hari kedua kedatangan haid.


ii)  Senggugut Kedua
Disebabkan oleh wujudnya sel 'endometrium' di luar rahim atau lebih dikenali dengan nama 'endometriosis'. Keadaan ini boleh membawa kepada pendarahan dalam perut. Jangkitan ini akan menyebabkan senggugut pada usia lanjut dan berlanjutan sepanjang kedatangan pendarahan haid.


Bagaimana Senggugut Boleh Berlaku
Senggugut boleh berlaku disebabkan oleh kuncupan rahim yang cukup kuat untuk mengeluarkan ketulan darah haid yang bercampur dengan sedikit tisu daripada selaput 'endometrium'. Darah haid biasanya akan keluar menerusi saluran pangkal rahim dan bagi gadis remaja saluran pangkal rahim masih ketat dan sempit. Kuncupan rahim ini akan mengeluarkan sejenis hormon disebut 'prostaglandin'. Disebabkan saluran kamu sempit inilah yang menyebabkan kesakitan yang amat sangat kerana darah haid tidak lancar ketika melalui saluran ini.

Kesakitan yang dialami setiap wanita yang datang haid pun berbeza. Ada yang mungkin akan sakit dalam masa sehari sahaja dan ada pula yang akan mengalaminya setiap hari semasa kedatangan haid.


Apa yang Perlu Kamu Lakukan Jika Senggugut?

1.  Kamu perlu mengasingkan diri kamu daripada orang lain. Bukan bermaksud mengasingkan diri untuk selama-lamanya tetapi tenangkan diri kamu ketika datang senggugut. Untuk pengetahuan sewaktu kamu mengalami senggugut, emosi kamu tidak stabil. Kerana itu, kamu boleh marah, tanpa sebab. Pantang silap sikit kamu sudah mula melenting padahal perkara yang terjadi itu kecil sahaja. Kamu akan cepat berasa letih, sakit kepala, susah untuk tidur dan sebagainya.


2.  Jika kamu tidak tahan dengan senggugut tersebut kamu bolehlah memakan ubat tahan sakit seperti panadol, aspirin, ponstan dan lain-lain. Tetapi jika keadaan kamu menjadi lebih teruk lagi, kamu perlulah berjumpa dengan doktor pakar sakit puan untuk pemeriksaan lanjut.


3.   Banyakkan minum air suam kerana ia boleh melancarkan lagi pengaliran darah. Ia juga boleh membantu kamu mengurangkan kesakitan.


4.  Ambil vitamin dan makanan tambahan seperti vitamin B6, vitamin E, kalsium dan magnesium.


5.  Kamu perlu bersedia dengan jerawat yang bakal bertandang ke wajah kamu. Ini disebabkan pertukaran hormon di dalam badan kamu. Bukan setakat jerawat, kamu juga akan mula rasa sakit-sakit pinggang, payudara kamu membengkak, sering buang air kecil dan pelbagai lagi tanda-tanda, yang bakal kamu lalui.


Konklusi di sini adalah kamu perlu tahu bahawa kedatangan haid bukanlah satu penyakit yang berbahaya. Ia merupakan satu perubahan fisiologi tubuh yang menunjukkan badan kamu berfungsi dengan baik. Kamu tidak perlu memerapkan diri di bilik sahaja. Kamu boleh buat apa-apa sahaja yang kamu suka seperti biasa.


Selain itu, kamu perlu terus bersenam kerana ia boleh membantu kamu untuk meningkatkan lagi kecergasan diri dalam tempoh kedatangan haid. Kamu perlu menggantikan zat besi yang hilang melalui darah haid setiap bulan dengan meningkatkan pengambilan makanan yang mengandungi zat besi seperti ikan, daging, kerang dan sayur-sayuran yang hijau. Contohnya, sayur brokoli, sayur bayam dan lain-lain.