Saturday, 4 August 2018

10 Kunci Persahabatan yang Baik

Assalamualaikum.
Hubungan persahabatan amat penting dalam kehidupan sehari-hari. Kamu tentu seronok jika ada ramai kawan. Hubungan yang terjalin perlu dijaga dengan baik dan yang penting kamu perlu pandai memilih sahabat.

Antara 10 kunci persahabatan yang baik adalah:

1.  Pilih orang yang mempunyai minat yang sama seperti kamu supaya hubungan yang terjalin lebih mesra. Tetapi jangan pula mengetepikan orang yang langsung tidak mempunyai persamaan dengan kamu. Mungkin minatnya dan minat kamu boleh dikongsi bersama. Bersikap terbuka tentunya lebih baik.


2.  Ingat pada satu prinsip iaitu homati dan berbuat baik kepada orang lain. Kamu juga tentu suka jika orang lain berbuat baik kepada kamu. Perkara yang baik selalunya akan dibalas juga dengan kebaikan. Jadi sekiranya kamu menghormati orang lain, tentu mereka juga akan menghormati dan berbuat baik kepada kamu.


3.  Sedarlah bahawa tiada siapa yang sempurna di muka bumi ini. Setiap orang mempunyai kekurangan dan kelemahan dalam diri. Kamu harus menerima kekurangan yang ada antara satu sama lain kerana ia kunci dan permulaan persahabatan yang baik.


4.  Hargai pendapat antara satu sama lain. Kamu perlu menerima pendapat dan kritikan daripada orang lain. Jangan pentingkan diri. Lebih banyak pendapat dan kritikan yang membina, lebih baik keputusan yang kamu akan capai.


5.  Kamu perlu ingat, walaupun kamu berkawan rapat, tidak semestinya kamu dan rakan kamu sentiasa bersama. Hal ini berlaku kerana semua orang mempunyai tanggungjawab yang lain. Oleh itu, jangan terasa hati jika sahabat baik kamu tidak bersama kamu. Jika kamu bersama pula, isi masa yang ada dengan perkara yang berfaedah dan menggembirakan.


6.  Komunikasi sangat penting dalam sesuatu hubungan persahabatan. Kawan kamu tidak boleh membaca fikiran kamu. Sekiranya ada sesuatu yang menjejaskan persahabatan kamu berdua, segera maklumkan kepadanya. Jangan simpan di dalam hati. Takut persahabatan yang terjalin, terlerai tanpa sebab yang kukuh.


7.  Jangan biarkan faktor luaran seperti tekanan (stress) menjejaskan persahabatan kamu. Kawan yang baik akan membenarkan dan menerima apabila kamu meluahkan perasaan kepadanya. Tetapi jangan hanya mempergunakan mereka untuk melepaskan perasaan. Sebagai balasan, kamu juga perlu menjadi pendengar yang setia kepada mereka apabila diperlukan.


8.  Belajar daripada satu sama lain. Kamu dan kawan kamu masing-masing mempunyai kelebihan dan kekurangan. Jadi belajar antara satu sama lain perkara-perkara yang boleh membuatkan kamu berdua berjaya dalam hidup.  Buangkan segala sikap negatif dalam diri. Pupuk sikap bekerjasama dan saling bantu-membantu. Semuanya untuk kesenangan kamu berdua.


9.  Jangan mengata di belakang kawan kamu. Ini yang paling penting. Apabila sesuatu persahabatan itu sudah terjalin, tentunya kamu berdua akan saling mempercayai antara satu sama lain. Jangan sesekali memburukkan kawan kamu kepada orang lain. Simpan sendiri buruk baik yang ada pada kawan kamu. Itulah namanya kawan yang sejati.


10.  Jaga tutur kata dengan baik. Kamu perlu menjaga hati kawan kamu. Jangan sesekali bercakap perkara yang tidak disukai dan menyinggung hatinya. Bukan senang untuk mempunyai kawan yang baik. Takut jika kamu kehilangannya, kamu akan menyesal nanti.


No comments:

Post a Comment