Assalamualaikum.
Rahsia. Semua orang pernah ada rahsia. Jika sudah dinamakan rahsia maka, kamu tidak boleh memberitahu pada orang disekeliling kamu dengan sesuka hati, kerana rahsia yang terbongkar mungkin akan menyebabkan kamu berasa malu nanti. Malahan rahsia bukanlah dinamakan rahsia lagi selepas itu.
Tetapi jika kamu pendam sahaja rahsia itu seorang diri pun tidak baik untuk kamu juga kerana, ia akan mengusutkan lagi fikiran kamu yang telah sedia kusut itu. Oleh yang demikian, pada siapa yang harus kamu luahkan masalah kamu ini? Dan pada masa yang sama, kamu juga tidak mahu rahsia kamu terbongkar. Arghhhh kusutlah kepala ni kalau macam ini!
Sebelum kita pergi dengan lebih lanjut, meh sini baca dulu apa itu rahsia.
Apa Erti Rahsia?
Rahsia bermaksud satu perkara yang tidak boleh diceritakan pada orang lain. Ia satu amanah yang perlu dijaga dan tidak menghebahkannya kepada orang lain. Jika kamu bercerita pada orang lain, ia tidak akan menjadi rahsia lagi.
Siapa yang Boleh Simpankan Rahsia Kamu?
Biasanya kamu akan memberitahu rahsia pada orang yang rapat dengan diri kamu. Perhubungan yang terjalin antara kamu berdua sememangnya sudah tidak boleh dipisahkan lagi. Namun begitu, pernah atau tidak kamu mendengar satu peribahasa 'kawan makan kawan' atau 'tikam belakang'.
Maknanya kamu tidak boleh mempercayai orang lain itu 100% walaupun kamu mengenali rakan kamu itu sejak kecil lagi. Kerana pada bila-bila masa sahaja, rakan baik kamu itu boleh menjatuhkan kamu. Antara orang-orang yang kemungkinan boleh menyimpan rahsia kamu ialah;
i) Ahli Keluarga Kamu Sendiri
ii) Guru Kaunseling
iii) Sahabat Baik
i) Ahli Keluarga Kamu Sendiri
Kamu perlu mempercayai ahli keluarga kamu sendiri. Jika kamu mempunyai satu perkara yang perlu dirahsiakan beritahu pada kakak, abang atau adik kamu. Ia bergantung kepada perkara yang kamu rahsiakan. Jika masalah itu melibatkan ibu bapa kamu, curahkan pada kakak atau abang kamu. Mereka mungkin boleh membantu kamu untuk mengatasi masalah kamu itu.
ii) Guru Kaunseling
Jika di sekolah, guru kaunseling antara yang boleh kamu percayai kerana guru kaunseling sememangnya diberi tanggungjawab membantu murid-murid yang menghadapi masalah. Jadi tidak salah rasanya kamu berkongsi rahsia kamu dengan guru kaunseling kamu. Ia lebih berbaloi kerana ia bukan sahaja mendengar rahsia kamu malah, mungkin boleh membantu kamu dalam menyelesaikan masalah tersebut.
iii) Sahabat Baik
Kamu mempunyai sahabat baik? Jika seseorang itu sanggup susah dan senang bersama kamu dan tidak membiarkan kamu terkapai-kapai seorang diri ketika dilanda masalah. Itulah sahabat baik yang dicari. Ia amat sukar untuk ditemui tetapi jika kamu menemuinya, kamu cukup bertuah kerana mempunyai sahabat baik. Pada sahabatlah kamu boleh mencurahkan segala rahsia kamu. Tetapi bukan pada rakan sekelas kamu atau kawan kamu kerana mereka semua boleh berubah pada bila-bila masa sahaja
Sifat-sifat Sebagai Seorang Penyimpan Rahsia
1. Berpegang Pada Janji
Kamu perlu mencari seorang yang berpegang pada janji. Jika rakan kamu itu tidak memegang pada janjinya, ini bermakna rakan kamu itu tidak layak untuk menyimpan rahsia kamu. Rakan kamu sering datang lewat dan sebagainya menunjukkan dia tidak begitu peka dengan perkara yang kecil, contohnya, masa. Jadi bagaimana pula dia boleh menyimpan satu rahsia sedangkan perkara yang kecil juga dia sering lalai dan leka?
2. Seorang yang Jujur
Dalam apa jua perkara sekalipun, kamu perlu mencari seseorang yang jujur. Bukan sahaja dalam menyimpan rahsia tetapi juga dalam pergaulan kamu sehari-hari. Kalau kamu tidak berkawan dengan orang yang jujur semua kerja tidak akan menjadi. Jadi, carilah orang yang jujur, walaupun ia agak sukar tetapi kamu pasti akan menemuinya.
3. Seorang yang Amanah
Kamu perlu mencari seseorang yang bersifat amanah. Jika kamu amanah, kamu tidak akan membocorkan rahsia kamu. Rahsia merupakan satu amanah yang perlu dijaga, tanpa sifat amanah, rahsia kamu mudah diketahui oleh orang lain.
Tetapi sekiranya rahsia kamu itu terbongkar, apa yang harus kamu lakukan?
Bila Rahsia Kamu Terbongkar
1. Bersemuka dengan Siapa yang Membongkar Rahsia Tersebut
Kamu perlu berjumpa dengannya dan bertanya kenapa dia berbuat begitu. Kamu jangan terus memarahinya kerana takut akan menjadi pergaduhan antara kamu dengannya.
2. Jangan Tersalah Pilih Kawan
Kalau rahsia kamu terbongkar, ia sepatutnya memberi pengajaran pada diri kamu dalam memilih kawan. Bagaimana kawan yang kamu pilih dan pada siapa kamu boleh menceritakan rahsia kamu.
3. Kepentingan Rahsia itu Bagi Kamu
Jika kamu merasakan rahsia itu cukup penting dan boleh mengaibkan diri kamu, kamu perlu menegur sikap rakan kamu itu. Tetapi jika rahsia tersebut tidak mendatangkan apa-apa keburukan dalam diri kamu. Kamu perlu biarkan ia begitu sahaja.
Sampai di sini sahaja coretan untuk kali ini.
Jumpa lagi.