Sedar atau tidak yang sebenarnya kamu mempunyai cara duduk yang tersendiri. Ini dapat dilihat terutama ketika kamu sedang menonton televisyen. Gaya duduk juga dapat menggambarkan personaliti diri kamu yang sebenar. Jom baca rahsia yang tersirat di sebalik cara duduk kamu itu.
Duduk Bersimpuh
Gaya duduk kamu ini menggambarkan kamu seorang yang bersopan santun dan berhati mulia. Kamu seorang anak yang menghormati ibu bapa dan amat disenangi oleh rakan-rakan. Cayalah!
Duduk Bersila
Gaya duduk kamu ini menunjukkan kamu seorang yang amat teliti dan berhati-hati. Sebelum melakukan sesuatu perkara, kamu akan berfikir terlebih dahulu. Tetapi kadang-kala kamu ini jenis yang terlalu cerewet dalam membuat sesuatu keputusan. Hah, macam mana pula tu?
Duduk Sambil Menongkat Dagu
Kamu suka menangguhkan kerja. Sikap kamu yang suka melengah-lengahkan masa akan membuatkan masalah kamu menjadi semakin bertambah. Kamu juga suka mengambil masa yang terlalu lama untuk bersiap. Eh, betul ke ni?
Duduk Beralaskan Bantal
Kamu digambarkan sebagai seorang yang garang dan tegas. Kamu merasakan apa-apa saja yang kamu katakan semuanya betul. Ramai rakan yang kurang senang dengan sikap kamu ini. Walau bagaimanapun kamu sebenarnya bijak dalam bab menguruskan masa dan kewangan kamu. Oklah tu!
Duduk Mengiring Sambil Tangan Menongkat ke Lantai
Gaya kamu ini melambangkan kamu seorang yang peramah dan mudah didekati. Patutlah kamu mempunyai ramai kawan. Tetapi kamu juga harus bijak dalam mengawal sikap kamu yang suka bercerita dan banyak bercakap itu kerana, bimbang ada rakan-rakan yang akan bosan mendengarnya nanti.
Memeluk Bantal Atau Anak Patung
Kamu ini seorang yang manja dan penyayang. Kamu juga seorang yang sensitif dan mudah memberikan pertolongan kepada rakan-rakan yang memerlukan. Kamu mempunyai pemikiran yang kreatif tetapi ada kalanya kamu gemar berangan-angan.
Duduk Sambil Bersandar ke Dinding
Gaya duduk kamu ini menggambarkan yang kamu selalu saja ingin hidup bebas. Kamu lebih mementingkan diri sendiri dan sukar menerima pendapat orang lain. Kamu sebenarnya ingin belajar berdikari tetapi awas, sikap kamu ini akan membuatkan ramai rakan kamu kurang minat untuk mendekati kamu. Janganlah macam ini!
Duduk Sambil Melunjurkan Kaki
Kamu digambarkan sebagai seorang yang pandai berdikari. Kamu juga didapati tidak cerewet dan bijak dalam membuat keputusan. Sikap terbuka kamu itu juga membuatkan ramai rakan-rakan mudah untuk berkongsi masalah peribadi mereka dengan kamu. Baguslah tu. Teruskan!
Duduk Sambil Tangan Memeluk Lipatan Kaki
Gaya duduk kamu saja sudah melambangkan sikap tidak elok yang ada pada kamu. Kamu mudah marah dan selalu boros apabila berbelanja. Kamu juga didapati sering mengabaikan hal kebersihan diri sendiri. Janganlah macam ni, kamu sebenarnya mempunyai kelebihan diri yang sangat istimewa. Berusahalah untuk berubah ya!
Duduk Sambil Bergoyang Kaki
Kamu yang duduk dengan gaya sebegini sememangnya seorang yang tidak mempunyai keyakinan pada diri sendiri. Kamu selalu saja ingin bergantung kepada rakan-rakan kamu yang lain sekiranya mempunyai masalah. Kamu juga seorang yang pelupa dan sering suka menyendiri. Walaupun begitu kamu sebenarnya seorang yang ringan tulang dan bersemangat tinggi. Apa kata kamu cuba tanamkan sedikit keyakinan pada diri kamu itu untuk berubah. Mesti bolehkan!